Takkan Melayuku melayu di dunia...

Catatanku ini seakan mengubati kerinduanku pada bahasa melayu. Bahasa yang diharapkan dapat menjunjung budaya, ternyata telah dianaktirikan oleh bangsa sendiri. Apakah aku dapat meneruskan kegemilangan penggunakan bahasa melayu yang dicintai, ataupun kehadiran "blog" ku ini hanya akan mengingatkan sejauh mana bahasa ini bakal ditelan zaman? Tetapiā€¦kalau bukan kita yang majukan bangsa dan bahasa kita, siapa lagi?

My Photo
Name:
Location: Singapore

Perjalanan hidup kita ibarat putaran roda. Kekadang kita berada diatas, dan tanpa disedari kita boleh terus tergolek ke bawah. Kesederhanan hidup membantu kita untuk menghargai rezeki yang diberikan dan kesempitan hidup memberi kita kesempatan untuk mendapatkan berkat dalam kita mengecapi kebahagiaan dengan usaha dan doa...

Saturday, July 22, 2006

Singapura Menyambut Hari Keharmonian Kaum..





















Betapa manisnya guru-guru dan adik-adik kita berpakaian tradisional bersempena Hari Keharmonian Kaum. Tanggal 21 haribulan Julai merupakan Hari Keharmonian Kaum di Singapura. Banyak sekolah yang tidak mahu ketinggalan dalam menyambut hari istimewa ini, yang tidak didapati di negara lain. Para guru dan pelajar digalakkan memakai sebarang pakaian tradisional, samada dari kaum mereka, ataupun kaum lain.

Pada hari ini, ramai yang mempelajari mengenai pakaian tradisional setiap kaum di Singapura, makanan tradisional mereka dan juga kebudayaan mereka secara ringkas.

Orang melayu memang terkenal dengan baju kurungnya. Kalau si gadis berbaju kurung mini leher bulat ataupun yang bercekak musang atau baju kurung pesak, dan si teruna pula berbaju kurung cekak musang ataupun baju kurung johor. Untuk si gadis moden, selain daripada kebaya kota bahru dan kebaya biasa, ada juga kebaya nyonya yang dimodenkan serta kebarung (kebaya labuh).

Ha...tulah.. Siapa bilang gadis melayu tak menawan,.... Bila sudah mengenakan baju kurung, bertambah ayu dan anggun si gadis tersebut.

Makanan tradisional melayu pula banyak yang bercampur aduk dengan makanan Jawa, Minang, Cina dan India. Tidak siapa pun tahu Nasi Sambal Goreng itu asalnya Melayu ataupun Jawa dan Nasi Lemak pula makanan Melayu ataupun Cina. Tetapi, yang pasti, lauk seperti lemak cili padi, sambal tumis ikan bilis, asam pedas dan ayam masak merah adalah lauk-pauk kebanggaan orang Melayu.












[Kiri -> Kanan: Ayam masak merah & Ikan masak lemak cili padi...]

Itu belum termasuk kuih-muih yang berbagai jenis. Antaranya talam bakar berlauk, kuih bakar ubi, kuih kosui, puteri salad, kuih lapis, kuih lompang, agar-agar gudil, epok-epok, kuih bangkit, kuih makmur....dan banyak lagi... Kalau nak disebutkan semua, tak habislah menulis.















[Kiri -> Kanan: Kuih Lapis, Kuih Lompang dan Kuih Bakar]