Aku yang anti-"blog"...
Bukankah diari itu bersifat peribadi? Dan isinya merupakan rahsia-rahsia yang tidak ingin diketahui umum?
Namun, kini zaman telah berubah, dan begitu juga tanggapan manusia terhadap sesuatu perkara yang kita dilakukan.
Blog ini pula dijadikan semacam wadah untuk si penulis meluahkan pendapat dan kreativiti mereka. Pada mereka, itu adalah hak peribadi mereka, samada mereka hendak memuji, mengutuk ataupun menyebarkan sebarang gosip-gosip mengikut suka hati mereka. Sehingga ada yang dihadapkan ke mahkamah kerana menyalahgunakan khidmat blog ini untuk kepentingan diri sendiri. Ini membuktikan bahawa undang-undang kita menentang keras terhadap perbuatan yang menyinggung perasaan rakyat-rakyatnya yang menganut agama yang berbeza-beza.
Tetapi, walaupun ada segelintir blog-blog yang sedap dibaca dan membuka minda kita, namun, kebanyakan blog-blog ini sekadar diari cinta si penulis yang disiarkan untuk bacaan orang awam. Ini juga telah menggalakkan penggunaan bahasa yang kurang sihat, dengan perkataan-perkataan singkat yang jarang ataupun tidak pernah didengar.
Di mana-mana saja kita pasti pernah mendengar orang berkata, "Kau ni siak ah.. Boleh blah lah.. Macam ye ye je.."
Tiba-tiba, terdetik dalam hatiku untuk mula menulis "blog" ni, dengan niat untuk berkongsi isi hati dan pendapat, bukan untuk berjiwang (Kamus Dewan: jiwa-jiwa, sentimental) mahupun mengutuk sesama insan dengan sengaja.
Banyak perkara yang ingin aku ketengahkan, pengalaman yang ingin ku kongsi, serta pendapat yang ingin ku hadapkan buat penilaian kita bersama.
Kekadang tu, terfikir juga dalam hatiku, "Bilakah orang kita akan merasa bangga menggunakan Bahasa Melayu?"